suria

Utusan Melayu Diperintah Bayar Ganti Rugi Kepada Anwar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah yang dimenangi bekas ketua pembangkang itu dua tahun lepas.

Saman itu berhubung dua artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Anwar selaku plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan kos guaman sebanyak RM8,000 dibayar oleh defendan.

Hue ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati artikel yang diterbitkan defendan dibuat dengan berniat jahat dan defendan telah gagal membuktikan pembelaan justifikasi dalam kes saman itu.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T. Singham membenarkan tuntutan saman Anwar dengan memutuskan dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Jan 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Januari 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Januari tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin Muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Anwar yang diwakili peguam N.Surendran dan Latheefa Koya hadir pada prosiding pada Isnin.

Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli yang mewakili kedua-dua defendan ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan pada Isnin. - BERNAMA

Utusan Melayu, Anwar Ibrahim

Artikel Lain