suria

Matthias Chang Tamatkan Mogok Lapar

Matthias Chang (tengah)
PETALING JAYA: Peguam Matthias Chang, telah menamatkan mogok laparnya pada Rabu atas nasihat doktor, selepas mengalami pendarahan dan ulser perut, kata peguamnya, Mohd Akmal Afiq.

"Matthias melakukannya atas nasihat perubatan. Doktor di Penjara Sungai Buloh menasihati beliau supaya menghentikannya.

"Sepanjang mogok lapar, beliau hanya minum air untuk makan ubat-ubatnya. Beliau tidak makan apa-apa dalam tempoh itu," kata Mohd Akmal ketika dihubungi The Star Online, Jumaat.

Beliau berkata Chang masih dirawat di penjara tetapi keadaannya semakin baik.

"Berbanding pada hari Selasa ketika saya melawat beliau, keadaannya bertambah baik, lebih baik daripada sebelum ini. Seperti biasa, beliau juga bersemangat," kata Mohd Akmal.

Chang mencatatkan kenyataan akhbar di laman webnya, menyatakan bahawa beliau selamat walaupun mogok lapar selama tujuh hari dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Katanya, beliau kini akan menggunakan semua kekuatan dan tenaga untuk berganding bahu dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang ditahan bersamanya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma) 2012.

Chang memulakan mogok lapar pada 8 Oktober 'untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan kehormatan' selepas ditahan.

Beliau kemudian mengeluarkan kenyataan mencabar pemimpin Umno untuk menyertai beliau dalam mogok lapar bagi menunjukkan bahawa mereka sanggup mati untuk 'Umno dan maruah Melayu'.

Pada 12 Oktober, Khairuddin dan Chang didakwa cuba mensabotaj sistem kewangan dan perbankan negara. Tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 26 Oktober ini untuk sebutan semula kes itu.

Khairuddin dan Chang didakwa telah melakukan kesalahan itu antara 28 Jun dan 26 Ogos di Balai Polis Paris di Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Switzerland; Balai Polis Wai Chan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantonment di Singapura.
Matthias CHang, mogok lapar, Sosma

Artikel Lain