suria

Tak Ada Rancangan Pecat Rafizi - Azmin

GOMBAK: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan kononnya Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli akan dipecat, sekali gus disingkir daripada kedudukannya sebagai setiausaha agung parti itu.

Menyifatkan khabar angin berkenaan sebagai spekulasi, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa PKR tidak berhadapan masalah dalaman membabitkan pemimpinnya.

"Tak ada (rancangan pecat Rafizi), PKR hari ini sebuah parti yang bertambah kuat dan kukuh.

"Tidak ada masalah seperti yang dinyatakan oleh wartawan tersebut atau individu berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek naik taraf Masjid Zakaria di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai laporan berhubung satu petisyen dikemukakan 25 anggotanya baru-baru ini yang mahu jawatan Rafizi sebagai setiausaha agung dilucutkan susulan pertembungan dalaman berhubung penubuhan Pakatan Harapan.

Nasib Rafizi dikatakan bakal ditentukan pada mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadual diadakan pada Ahad ini.

Ditanya mengenai mesyuarat berkenaan, Azmin berkata: "Kita mesyuarat setiap hari."

Diminta mengulas sama ada beliau akan mempertahankan Rafizi sekiranya MPP berkemungkinan mengambil pendirian untuk memecat Rafizi, Azmin bagaimanapun cuba mengaitkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah.

"Kalau benda ini tak benar why you speculate. Jangan layan spekulasi dan budaya fitnah. Sebab itu baru-baru ini Dewan Diraja Selangor dan kerajaan negeri ambil tindakan keras terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik yang lemparkan fitnah.

"Hentikan budaya fitnah kerana ia akan menggugat demokrasi dan kedaulatan negara dan negeri," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain