suria

Mayat Ahli Perniagaan Dipercayai Dibunuh Ditemui

JOHOR BARU: Mayat seorang ahli perniagaan yang dipercayai dibunuh, ditemui orang awam, di sebuah hutan berdekatan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, dekat sini, petang Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara Supt Beh Eng Lai berkata mangsa Cheung Zi Hong, 22, yang sebelum ini dilaporkan diculik sekumpulan individu pada 28 September lalu, ditemui pada 2.40 petang.

Beh berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran untuk dibedah siasat.

"Bedah siasat mengesahkan Cheung dibunuh dan hasil ujian DNA juga mendapati si mati adalah mangsa culik yang dilaporkan," kata beliau.

Ekoran penemuan mayat Cheung, beberapa suspek ditangkap di rumah penginapan mereka di beberapa kawasan termasuk Kota Tinggi pada Khamis bagi membantu siasatan, katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beh turut berkata kereta mangsa jenis Audi TT berwarna putih, yang dilaporkan turut hilang pada hari sama mangsa diculik, turut ditemui semula di kawasan Taman Perling di sini pada Ahad.

"Maklumat lanjut akan didedahkan dalam sidang akhbar pada masa terdekat," kata Beh.

Terdahulu, beliau berkata Cheung, pernah menelefon rakannya memberitahu dia diculik oleh sekumpulan individu tidak dikenali, sekali gus meminta bantuan agar menyediakan wang tebusan RM50,000 pada hari dia dipercayai diculik. - BERNAMA


mayat, ahli perniagaan

Artikel Lain