suria

Mayat Dengan Kesan Tikaman Dijumpai Di Felda Simpang Waha

KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki tempatan dijumpai dengan kesan tikaman dan tetakan di bahagian dada dan kepala di sebuah kebun di Felda Simpang Waha, di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman, berkata mayat itu dijumpai orang awam kira-kira 7.56 pagi sebelum mereka memaklumkan polis yang bertugas di Pondok Polis Simpang Waha, di sini.

Menurutnya, siasatan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tikaman dan tetakan di bahagian kanan dada dan kepalanya.

"Mangsa dikenal pasti sebagai Jasni Amin, 40 dan tinggal di Felda Bukit Aping Barat," katanya ketika ditemui pemberita, di sini Selasa.

Rahmat berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi menentukan motif kejadian sebenar.

Mayat mangsa kini telah dihantar ke Unit Forensik Kesihatan Hospital Kota Tinggi untuk tindakan susulan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA


mayat, tikaman

Artikel Lain