suria

Doris Jones Curiga Jabatan Imigresen Tawar Sijil Kecemasan

Doris Jones.

KOTA KINABALU: Aktivis yang berpangkalan di London, Doris Jones membatalkan rancangannya untuk kembali ke Malaysia walaupun Jabatan Imigresen menawarkan Sijil Kecemasan untuk memasuki negara ini berikutan pasportnya yang hampir tamat tempoh.

Jones yang dikehendaki atas dakwaan menghasut berkata beliau curiga mengenai tawaran tersebut dan tertanya-tanya sekiranya akan ditangkap di negara sendiri.

Beliau berkata seorang pegawai Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London memanggilnya paa 2 Oktober lalu dan berkata Sijil Kecemasan merupakan jalan terbaik untuk perjalanan satu hala.

"Pegawai itu memberitahu bahawa saya hanya perlu pergi ke Putrajaya semasa ketibaan saya. Saya menjadi curiga kerana waran tangkap dikeluarkan polis di Tuaran," katanya.

Jones berkata beliau merancang untuk kembali ke Sabah akhir bulan ini untuk menghadapi tuduhan menghasut tetapi dimaklumkan Jabatan Imigresen enggan memperbaharui pasportnya.

Beliau telah pergi ke pejabat Imigresen di Kedutaan Malaysia pada 30 September lalu untuk memperbaharui pasportnya yang tamat tempoh pada Oktober.

Katanya, tidak memperbaharui pasport Malaysia tidak akan memberikan masalah untuk kekal di Britain kerana beliau memegang taraf penduduk tetap sejak 1997.

Jones berkata jika kerajaan Malaysia terus enggan memperbaharui pasportnya, beliau akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Britain.

Polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jones yang dikenal pasti sebagai Yapp Kim Youn atas dakwaan menghasut.

Polis bagaimanapun, mengakui bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak akan dapat mengekstradisi Jones kerana undang-undang Britain tidak mengiktiraf kesalahannya di bawah Akta Hasutan.

 

Doris Jones, Akta Hasutan

Artikel Lain