suria

60 Pondok Ad-Diniah Yusufiah Musnah Dalam Kebakaran

Anggota bomba memadam kebakaran di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas malam Isnin. - fotoBERNAMA

PASIR MAS: Kira-kira 60 pondok di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas di sini musnah dalam kebakaran malam Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, lebih 40 pondok di situ terselamat daripada dijilat api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Penolong Penguasa Bomba Mohamad Nazri Abdul Wahab berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

"Pondok berkenaan yang dibuat daripada kayu berkeluasan 8 X 10 kaki dibina terlalu rapat menyebabkan api marak dengan cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam Isnin.

Mohamad Nazri berkata seramai 24 anggota bomba dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Kota Baharu dan Tunjong (Kota Baharu), berjaya memadam dan mengawal api daripada merebak ke lebih 40 pondok di madrasah tersebut.

Beliau berkata pihaknya yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.23 malam tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian sebelum berjaya mengawal dan memadam kebakaran dalam tempoh setengah jam.

Katanya selain bekalan air dari kenderaan bomba, pihaknya menggunakan air dari perigi di madrasah tersebut untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya madrasah berkenaan yang merupakan tempat pengajian agama menempatkan pelajar daripada peringkat kanak-kanak hingga warga emas. - BERNAMA

kebakaran

Artikel Lain