suria

UTM Tubuh Stesen Sementara Pantau Kualiti Udara

JOHOR BAHARU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan stesen sementara pemantauan kualiti udara bertujuan untuk membantu warga kampus mengetahui keadaan sebenar jerebu.

Pengarah Kampus Pelestarian UTM Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata satu pasukan bertindak jerebu turut dibentuk di peringkat universiti diketuai oleh Pemangku Naib Canselor Prof Dr Azlan Abd Rahman.

Beliau berkata tujuan penubuhan stesen berkenaan memandangkan stesen terdekat iaitu Larkin Lama terletak kira-kira 13 kilometer dari universiti.

"Stesen ini yang menggunakan dua alat pemantauan udara akan merujuk silang bacaan dari Stesen Larkin Lama yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dan Stesen Singapura Utara," katanya kepada pemberita selepas melakukan demonstrasi penggunaan alat pemantauan udara di padang utama, UTM, Skudai dekat sini, Rabu.

Mohd Fadhil berkata stesen yang mula beroperasi semalam, menggunakan dua alat iaitu alat pengukur kewujudan zarah dalam udara dan alat pengukur elemen dalam gas.

Beliau berkata data dikumpul setiap sejam dan kemudiannya rumusan akan dihantar kepada pasukan bertindak jerebu, yang akan menyelaras hebahan dan mekanisme respons tindakan.

"Hasil pemantauan ini akan dikumpul dan dikemukakan kepada kerajaan sebagai cadangan untuk menambah baik pemantauan udara negara pada masa depan," kata Mohd Fadhil.

Jerebu, IPU, UTM

Artikel Berikut

Artikel Lain