suria

Rosmah Kongsi Pengalaman Malaysia Atasi Perkahwinan Kanak-Kanak

NEW YORK: Datin Seri Rosmah Mansor berkongsi pengalaman Malaysia mengatasi masalah perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak semasa mesyuarat pagi anjuran Yayasan Ford di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Isteri Perdana Menteri berkata perkahwinan kanak-kanak jarang berlaku di Malaysia berikutan kewujudan sistem pendidikan negara yang baik dan kadar kemiskinan yang rendah.

"Enrolmen kanak-kanak lelaki dan perempuan di sekolah rendah adalah 99 peratus...kira-kira 70 peratus pelajar perempuan kini mendaftar di universiti," katanya pada 'Breakfast Panel on Girls not Bride' di Yayasan Ford di sini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Puteri Mabel Van Oranjestad dari Belanda serta pasangan pemimpin dari Panama dan Zambia.

Kadar kemiskinan pada tahap rendah iaitu 0.6 peratus dan usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan wanita terutamanya ibu tunggal turut menyumbang ke arah kejayaan negara dalam mengatasi masalah berkenaan, kata Rosmah.

Perundangan Malaysia, menurut Rosmah menyekat dan mempunyai pendekatan  lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak daripada dipaksa untuk berkahwin pada awal usia.

Beliau berkata, pada tahun lepas, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menubuhkan satu Pasukan Petugas Perlindungan Kanak-Kanak, yang antara lain bertujuan meningkatkan had umur berkahwin bagi seorang gadis iaitu  dari 16 tahun kepada 18 tahun di bawah Undang-undang Syariah agar ia konsisten dengan Akta Kanak-Kanak.

Pasukan petugas itu juga melihat usaha ke arah menyediakan pendidikan penjagaan kesihatan reproduktif kepada remaja berusia 13 tahun ke atas, menubuhkan sekolah untuk golongan gadis yang belum berkahwin, memperluaskan kemahiran keibubapaan dan memupuk nilai moral dalam kalangan belia melalui media sosial.

Rosmah berkata perkahwinan kanak-kanak di Malaysia hanya berlaku dalam keadaan tertentu antaranya disebabkan menghalalkan kehamilan luar nikah dan mencegah salah laku sosial seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah, gangsterisme serta isu lari dari rumah.

Yayasan Ford ditubuhkan oleh usahawan automobil, Henry Ford dan Edsel Ford pada 1936, antara lain, bertujuan untuk ekonomi, pendidikan, hak asasi manusia dan pemerkasaan demokrasi.

Rosmah berada di sini kerana mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja dan menghadiri sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain