suria

Kumpulan Pertama 407 Jemaah Haji Selamat Tiba

Jemaah haji dalam kumpulan pertama kembali daripada tanah suci melambai-lambai sanak saudara yang menunggu kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selasa malam. -fotoBERNAMA

SEPANG: Kumpulan pertama 407 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Selasa malam dengan menaiki pesawat SV5701 Saudi Airlines.

Ketibaan mereka pada 9.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah di Arab Saudi itu disambut anggota keluarga dan saudara-mara yang menunggu sejak 7 malam.

Turut menyambut ketibaan mereka ialah Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta beberapa pengurusan tertinggi TH.

Abdul Azeez dalam sidang medianya berkata sebanyak 68 penerbangan akan membawa pulang jemaah haji Malaysia bermula hari ini sehingga 28 Okt depan, yang  43 daripadanya menggunakan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) manakala selebihnya melalui Saudi Airlines.

Beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada 25,087 jemaah yang berjaya melaksanakan haji termasuk 2,785 yang diberi kebenaran menunaikan haji di saat akhir.

Abdul Azeez berkata tiga jemaah tidak berjaya melakukan wukuf akibat koma dan TH akan memberi keutamaan kepada mereka untuk melaksanakan haji tahun hadapan sekiranya kembali sihat selepas ini.

"Seramai 24 jemaah meninggal dunia, lapan daripadanya adalah akibat tragedi kren tumbang di Masjidil Haram dan insiden rempuhan di Mina.

"Jika ditolak daripada yang meninggal akibat kemalangan, hanya 16 yang meninggal dan ia merupakan jumlah terendah berbanding bilangan kematian sebanyak 36 orang tahun lepas dan 39 sebelumnya," katanya.

Beliau berkata jumlah kematian jemaah yang berkurangan itu banyak dibantu persediaan rapi pengurusan TH dalam aspek penjagaan kesihatan termasuk membawa doktor pakar dan menambah bilangan paramedik.

Mengenai barangan peribadi jemaah yang meninggal dunia, Abdul Azeez berkata pengurusan TH akan membawa pulang dan menyerahkan sendiri kepada keluarga masing-masing beserta sijil kematian melalui pengurusan cawangan masing-masing.

Dalam pada itu, seorang jemaah yang terselamat dalam insiden kren tumbang berkata kejadian itu menyebabkan beliau tidak sedarkan diri selama setengah jam.

Mohd Nor Azman Hassan, 44, berkata sebelum kejadian beliau berada di dalam masjid kerana berhasrat melakukan tawaf sebelum secara tiba-tiba merasa sakit di bahagian belakang akibat dilibas objek daripada kren tersebut.

Kejadian itu menyebabkan bahu dan tulang rusuk saya patah, manakala kedua belah tangan sukar untuk digerakkan, katanya yang berasal dari Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Kejadian kren tumbang pada 11 Sept lepas yang berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran itu menyebabkan tujuh orang jemaah Malaysia terkorban.

Jemaah Haji, Haji 2015

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain