suria

Jerebu: 931 Sekolah Di Selangor Ditutup Pada Isnin

SHAH ALAM: Sejumlah 931 sekolah rendah dan menengah di 10 daerah di Selangor ditutup esok melibatkan 916,223 murid dan pelajar berikutan kualiti udara semakin buruk dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan pada paras sangat tidak sihat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Noor berkata arahan penutupan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran hari ini telah disebarkan kepada kesemua pentadbir sekolah serta merta.

"Sejurus mendapat arahan tersebut, jabatan telah menghubungi kesemua Pejabat Pendidikan Negeri supaya segera mengeluarkan surat kepada pentadbir sekolah bagi memaklumkan kepada ibu bapa mengenai penutupan tersebut," katanya pada Ahad.

Menurut Zainuren, sebanyak 62,075 guru terlibat dengan penutupan sekolah berkenaan.

Sekolah rendah dan menengah yang ditutup di 10 daerah itu membabitkan 131 di Klang; Kuala Selangor (92); Kuala Langat (72); Hulu Langat (127); Hulu Selangor (68); Sabak Bernam (64); Gombak (104); Sepang (51); Petaling Perdana (136); dan Petaling Utama (86).

Bagaimanapun, Zainuren berkata penutupan sekolah bergantung kepada bacaan IPU esok dan arahan seterusnya akan dikemas kini serta diumumkan kementerian dari semasa ke semasa.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan tengah hari ini memaklumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan serta di Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah tutup esok berikutan bacaan IPU yang semakin buruk. 

Sekolah, Selangor, Jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain