suria

Calon SPM Ketua Geng Curi Motosikal

Gambar arkib.

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua pelajar sekolah yang merupakan geng curi motosikal dalam dua serbuan di Kampung Alma, di sini pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata bertindak hasil intipan dan risikan sejak minggu lepas, sepasukan polis Unit Khas membabitkan kes curi motosikal menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada pukul 6 petang di Kampung Alma, Selasa lepas.

"Susulan penahanan pelajar tingkatan empat itu, polis menyerbu satu lagi rumah di kampung yang sama kira-kira pukul 11 malam keesokannya dan menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun," kata Rusli di sini, Rabu.

Beliau berkata ekoran penahanan dua pelajar itu, polis berjaya merampas dua motosikal jenis Yamaha 125 dan Yamaha SS 110 di rumah mereka serta dua rangka motosikal yang telah dileraikan.

"Rangka motosikal berkenaan telah dibuang dalam tali air di kawasan kampung mereka manakala komponen kenderaan itu diambil dan dijual dengan harga murah," katanya.

Rusli berkata polis percaya penahanan dua remaja itu dapat menyelesaikan empat kes curi motosikal membabitkan tiga kes di daerah SPT dan satu kes di Seberang Perai Utara (SPU).

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan penglibatan dua pelajar berkenaan dalam kes curi motosikal yang lain.

"Polis juga sedang mengesan seorang lagi rakan mereka iaitu pelajar lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai terlibat dengan geng itu," katanya.

Menurut Rusli kumpulan itu dipercayai terlibat dengan aktiviti curi motosikal sejak dua bulan lepas dan mereka menggunakan kenderaan berkenaan untuk kegunaan sendiri serta menjual komponennya.

Dua pelajar itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan, katanya.

Motosikal, SPM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain