suria

Penahanan Semula Suami Sudah Dijangka - Umie Aida

Gambar Khairuddin yang dimuat naik oleh Umie Aida di Facebooknya.

PETALING JAYA: Isteri kepada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Datin Umie Aida Rahmat sudah menjangkakan suaminya itu akan ditahan semula sejurus dibebaskan daripada tahanan reman.

"Benar sungguh naluri ku... apa yang bakal terjadi. Abang telah dibebaskan dari akta 124C... tak sampai 5 minit abang ditahan semula untuk Akta 124K & 124L. Subhanallah... ‪#‎staystrong," tulis Umie di laman Facebook miliknya.

Malah, Umie turut memuat naik gambar suaminya ditemani peguam Matthias Chang.

Khairuddin ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) pada petang Rabu, hanya beberapa minit selepas dibebaskan daripada tahanan reman.

Peguamnya, Matthias Chang berkata, Khairuddin telah dibebaskan daripada tahanan reman di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada pukul 4 petang.

Bagaimanapun, bekas pemimpin Umno itu ditahan semula kerana kesalahan mengikut Seksyen 124k dan 124L Kanun Keseksaan iaitu berkaitan mensabotaj negara.

"Sebaik berjalan keluar dari mahkamah, Khairuddin ditahan semula dan kini dibawa ke Balai Polis Dang Wangi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Mengikut Sosma, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 29 hari.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu ditahan Jumaat dan direman enam hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dipercayai mengancam demokrasi berparlimen.

Artikel Sebelum

Bersatu Demi Islam, Ummah - Najib

Artikel Lain