suria

Parti Generasi Baru Harap Sertai Pakatan Harapan Wakili Kaum India

S. Gobi Krishnan.

PETALING JAYA: Parti Generasi Baru (NewGen Party) berharap untuk menyertai gabungan Pakatan Harapan yang baharu bagi mewakili masyarakat India, kata setiausaha agung parti itu, S. Gobi Krishnan.

"NewGen Party yang merupakan parti berbilang kaum untuk semua rakyat Malaysia tetapi didominasi oleh kaum India di Malaysia bertanyakan parti mana dalam Pakatan Harapan yang menjaga kepentingan kaum India di negara ini," kata Gobi Krishnan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti berbilang kaum, tetapi kedua-duanya "didominasikan oleh kaum Melayu yang menjaga kepentingan masyarakat Melayu".

"Begitu juga DAP, sebuah parti berbilang kaum tetapi didominasikan oleh kaum Cina yang melihat kepada kepentingan masyarakat Cina. Jadi, siapa yang akan menjaga kepentingan kaum India dalam Pakatan Harapan yang baharu dibentuk? NewGen Party sendiri menawarkan Pakatan Harapan untuk menjaga kepentingan kaum India," tambah Gobi Krishnan.

Beliau mendakwa, ramai orang India yang menyertai PKR pada 2008 menyedari PKR tidak menjaga kepentingan orang India.

"Ia hanya 'Umno mini' yang majoriti kepimpinan mereka dikawal oleh ahli politik bangsa Melayu. Sekarang terdapat kekosongan untuk orang India. Inilah di mana NewGen party akan tampil mengisi kekosongan dan menjuarai isu-isu di sekeliling masyarakat India," kata Gobi Krishnan.

Beliau berkata, NewGen akan memberi tumpuan kepada Melaka pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita akan mengisi lebih banyak calon pelbagai kaum yang benar-benar mencerminkan semangat rakyat Malaysia untuk semua kaum," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain