suria

Jemaah Jantung Berlubang Kenang Jasa Ibu Bapa

KUALA LUMPUR: Najua Abdullah tidak sangka bakal menjejakkan kaki ke Baitullah ketika usia remaja. Semuanya atas ketentuan Ilahi dan usaha bapanya, Abdullah Mubarak yang bernazar akan menghantarnya ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji jika penyakit dihidapi iaitu jantung berlubang kongenital tidak memerlukan pembedahan.

Sejurus disahkan oleh pakar jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL) Najua tidak perlu dibedah ketika berusia 12 tahun , Abdullah terus merancang menunaikan nazarnya menghantar anak bongsunya itu ke Makkah. 

Setelah mendaftar dan tahap kesihatan mengizinkan, Najua berangkat ke Tanah Suci bersama-sama ibunya, Maryam Ariff pada Jun 1988 sebagai jemaah haji muasasah Lembaga Tabung Haji.

“Saya berusia 13 tahun ketika itu, baru tingkatan 1. Gembira sekali. Tidak susah mengambil cuti kerana guru-guru memahami. Saya tunai haji selama 51 hari dan banyak kenangan manis yang dilalui,” kata ibu kepada lima cahaya mata perempuan itu.

Najua, 40, teruja dan bersyukur kerana diundang sebagai tetamu Allah ketika usia muda dan mampu melaksanakan setiap rukun haji iaitu tawaf, berwukuf, saie dan tahalul tanpa sebarang masalah.

“Namun, ketika melontar jamrah pada hari terakhir, saya tidak mampu menyempurnakan seorang diri dan ibu membantu saya menunaikannya kerana terlalu letih,” ujarnya.

Bagaimana pula persiapan sebelum ke Tanah Suci? 

“Disebabkan saya belum begitu mengerti apa yang perlu disediakan sebelum melangkah ke Tanah Suci, ibu menguruskan segala-galanya. Saya ikut sahaja,” katanya tertawa mengenang kembali detik manis sebelum ke Tanah Suci.

Di Tanah Suci beliau turut teringatkan bapanya dan pernah ternampak seorang lelaki yang mirip bapanya ketika menunaikan solat berjemaah di dalam Masjidil Haram.

Beliau bersyukur kerana diberi peluang oleh bapanya untuk menunaikan haji pada usia muda dan tidak dapat melupakan pengorbanan bapanya yang sudahpun kembali ke rahmatullah pada 2010.

Menjelang hari Arafah dan sambutan Aidiladha, mStar Online membawakan video temubual yang menceritakan pengalaman Najua untuk tatapan semua.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain