suria

Otai Reformis Nafi Cetus Kekecohan Himpunan Rakyat Bersatu

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Otai Reformis tampil menyangkal dakwaan bahawa kumpulan itu adalah dalang di sebalik kekecohan di Jalan Petaling pada Himpunan Rakyat Bersatu, minggu lepas.

Jurucakap Otai Reformis, Shaiful Ariffin berkata, sebanyak 500 wakil NGO berkenaan berada di sekitar kawasan Jalan Petaling ketika kekecohan berlaku untuk memantau pergerakan himpunan itu dan bukan terlibat sebagai peserta.

"Kami dikawal oleh polis sepanjang perhimpunan dan dinasihati oleh polis supaya tidak terlibat, jadi mustahil kekecohan itu berlaku atas provokasi yang dilakukan oleh kami," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, tuduhan dilemparkan oleh penganjur himpunan itu mengaitkan Otai Reformis, hanyalah berkaitan sekeping kertas risalah yang kononnya disebarkan oleh NGO terbabit.

Pada Khamis lepas, Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunos, yang juga penganjur Himpunan Rakyat Bersatu, dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan insiden kekecohan di Jalan Petaling berpunca daripada provokasi dilakukan oleh Otai Reformis.-- Bernama


Artikel Lain