suria

Kanak-Kanak Kritikal, Nenek Cacat Penglihatan Cedera Dalam Kebakaran

- Gambar hiasan
JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak perempuan kritikal akibat melecur manakala neneknya yang cacat penglihatan turut cedera setelah rumah mereka terlibat dalam satu kebakaran di Lorong Sawa 3 Kempas, di sini, malam Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara Supt Beh Eng Lai berkata mangsa Noridah Omar, 59, dan cucunya Noor Sharifah Nazerah Abdullah, 6, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

"Noridah melecur di bahagian muka dan badan sebelah kiri sebanyak 11 peratus manakala cucu perempuannya mengalami 44 peratus melecur di bahagian badan kanan, dua kaki dan muka dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," kata beliau ketika dihubungi di sini lewat Selasa.

Beliau yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya tidak menemui sebarang botol kaca atau plastik berupa 'molotov cocktail' di tempat kejadian seperti didakwa sesetengah pihak.

"Hasil siasatan awal menjumpai satu tong yang dipercayai berisi lima liter petrol dengan penutup terbuka dalam rumah berkenaan," kata beliau.

Menurutnya, sehingga kini tiada petunjuk wujud elemen khianat, namun motif kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel Lain