suria

Pelajar Dipaksa Cium Kaki Seorang Perempuan Kembali Bersekolah

Paparan skrin video Mia yang dipaksa mencium kaki seorang perempuan, anak kepada pemilik restoran yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU: Pelajar tingkatan tiga dari Seberang Takir, Kuala Nerus yang nekad berhenti sekolah selepas video yang memaparkan dirinya dipaksa mencium kaki seorang perempuan menjadi viral di laman sosial baru-baru ini akan kembali bersekolah pada minggu depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelajar perempuan yang dikenali sebagai Mia itu akan menyambung semula pelajaran yang terkandas di sebuah sekolah di Kemaman dan pihak Yayasan Terengganu (YT) telah diarah menguruskan perkara tersebut termasuk berkaitan soal asrama.

Beliau yang sempat meluangkan masa bertemu pelajar itu di rumahnya Sabtu lalu mendapati anak yatim berkenaan menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar bagaimanapun terhalang akibat rasa malu diejek rakan-rakan.

"Saya terkejut bila dimaklumkan tentang kes pelajar berhenti sekolah, saya tidak boleh berkompromi dalam isu pendidikan lebih-lebih lagi kejadian ini berlaku di kawasan saya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

"Sebagai jaminan untuk Mia, saya juga minta pihak YT membuat pemantauan di samping memberi makluman awal kepada pihak sekolah agar kita dapat mengelak sebarang gangguan terhadapnya kerana kita tidak mahu kejadian di luar dugaan berulang lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di sini Selasa.

Turut hadir isterinya Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof serta Pengarah Pembangunan Wanita negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Dalam kejadian pada 8 dan 9 September lalu, Mia mendakwa beliau dipaksa melakukan perbuatan tersebut selepas dipaksa oleh ibu kepada perempuan berkenaan selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Sementara itu, Ahmad Razif turut meminta kedua-dua pihak khususnya ahli keluarga menyelesaikan permasalahan secara murni sekali gus menjernihkan keadaan.

Artikel Lain