suria

Polis Nafi Laporan Mat Rempit Baju Merah Berkeliaran Di Ibu Kota

Gambar kumpulan baju merah yang menjadi viral di media sosial.

KUALA LUMPUR: Polis menafikan kesahihan berita dan gambar sekumpulan mat rempit berbaju merah sedang berkumpul dan berkeliaran di Jalan Chow Kit, Pavilion dan Bukit Bintang seperti yang tersebar di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, penyebaran gambar itu adalah tidak benar sama sekali dan tiada kumpulan berkenaan sedang berkeliaran di bandar raya ini.

"Tiada sebarang penutupan jalan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya jalan-jalan yang menuju ke Plaza Low Yat.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada mana-mana balai polis berhampiran, dan tidak mempercayai atau terpengaruh dengan penyebaran gambar dan berita yang tidak berasas itu," kata Tajuddin dalam satu kenyataan di sini, Ahad. 

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan ke atas mana-mana individu yang dipercayai menyebarkan maklumat berunsur hasutan dan menakut-nakutkan orang ramai.

Tajuddin berkata, pihaknya akan sentiasa memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam di sekitar Kuala Lumpur akan terus terjamin.

"Setiap maklumat yang diterima perlulah disahkan serta diperoleh daripada sumber yang benar atau pihak berkuasa," katanya. - Bernama

baju merah

Artikel Lain