suria

PAS 'Tutup Buku' Isu Sumpah Bai'ah

Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM: PAS mengambil keputusan untuk 'tutup buku' berhubung isu sumpah bai'ah yang dilanggar bekas wakil rakyatnya yang bertindak melompat parti.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengingatkan, pihak yang terlibat dengan bai'ah termasuk taklik menceraikan isteri jika melanggar sumpah masih terikat dengan kekuasaan Allah.

"Kita ambil pendirian begini, sumpah bai'ah kita anggap sebagai perjanjian antara individu dengan Allah dan disaksikan oleh manusia.

"Kalau mereka yang terlibat dengan bai'ah ini merasakan bai'ah tidak memberi kesan, kami serahkan kepada Allah.

"Ini antara mereka dengan tuhan, mereka perlu ingat apa yang mereka lafazkan, sebut disaksikan Allah dan manusia," katanya ketika ditemui pemberita di Kongres Rakyat di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terbaharu apabila Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar bertindak menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehingga kini PAS kehilangan 11 wakil rakyat terdiri daripada enam Ahli Parlimen dan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Sepuluh daripadanya menyertai Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang sedang dalam proses untuk ditukar nama kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Beberapa pihak menganggap dosa kerana melanggar bai'ah boleh ditebus dengan membayar kafarah.

Ditanya sama ada PAS akan terus memberi tekanan supaya bekas wakil rakyatnya meletak jawatan, Takiyuddin berkata, parti itu tidak akan berbuat demikian.

"Kita nak tutup buku dalam isu bai'ah. Kalau mereka kata akujanji itu tak terpakai kepada dia, terpulang pada dia.

"Dari segi undang-undang tak ada kesan. Tak letak jawatan pun tak apa walaupun ada bai'ah atau akujanji.

"Tapi dari sudut moralnya ada. Mereka yang berkenaan kena fikir, dia berjanji dengan Allah, rakyat dan pengundi," katanya.

Menurut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Baru, PAS juga tidak akan merujuk isu sumpah bai'ah yang digunakan parti itu kepada pihak mahkamah untuk tafsiran lanjut.

Mengulas sama ada tindakan lompat parti secara beramai-ramai oleh bekas wakil rakyat PAS akan menjejaskan parti itu, Takiyuddin bagaimanapun menolak pandangan berkenanan.

"Kita merasakan ia tidak menjejaskan apa-apa kedudukan. Ahli Parlimen yang masih kekal dengan kita terdiri daripada orang yang berwibawa.

"Bagi kita PAS masih boleh berperanan dengan sebaiknya walaupun dengan Ahli Parlimen yang tinggal sekarang ini," katanya.


Takiyuddin Hassan, PAS, bai'ah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain