suria

YPM Bakal Teroka Korea

Abdul Karim Mustafa

KUALA LUMPUR: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang sinonim dengan pembiayaan pendidikan tinggi ke Jepun bakal meneroka potensi Korea bagi destinasi program terbaharunya menjelang 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, tinjauan pertama pihaknya ke negara itu akan dilaksanakan Oktober ini hasil dana kajian awal RM500,000 daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, program Dasar Pandang Timur Ke Dua ini bakal direalisasikan dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Jika pemilihan universiti yang sesuai dapat dimuktamadkan dan laporan kepada Kementerian Kewangan disiapkan mengikut jadual sebaik pulang ke tanah air, YPM jangka sesi kemasukan kumpulan pertama pelajar dapat dilaksanakan sebelum suku kedua tahun depan," katanya pada pertemuan dengan mStar Online di pejabatnya di Menara Mara di sini.

Sehingga kini, program pengajian tinggi YPM ke Jepun secara keseluruhannya melibatkan  1,150 pelajar pelbagai jurusan.

Semua pelajar berkenaan telah tamat pengajian tiga tahun di dalam negara dan dua tahun lagi di Jepun.

Abdul Karim berkata, antara bidang pengajian yang bakal menjadi tumpuan di Korea adalah teknologi hijau, tenaga diperbaharui  dan teknologi telekomunikasi.

"Menerusi program ke Korea,  yayasan  akan pastikan pelajar yang mengikutinya lengkap daripada aspek akhlak, jati diri, pencapaian akademik cemerlang, fasih berbahasa Korea dan mampu memenuhi kehendak pasaran kerja semasa," katanya.

Beliau menambah, pemilihan pelajar yang layak akan dilakukan sebaik program itu mendapat kelulusan Perbendaharaan, termasuk menetapkan peringkat pengajian sama ada sarjana muda, sarjana dan sebagainya.

Mengenai nilai ringgit semasa kini, kata Abdul Karim tidak menolak isu itu turut diberi perhatian kerana boleh memberi kesan kepada program YPM di luar negara.

YPM, Abdul Karim Mustafa, Korea

Artikel Sebelum

Artikel Lain