suria

ATM Kerah 200 Anggota Kesan Murid Orang Asli Hilang

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengerah lebih 200 anggota dan empat helikopter bagi membantu operasi mencari dan menyelamat tujuh murid Orang Asli yang hilang sejak 23 Ogos lepas.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pihaknya dipanggil membantu operasi mengesan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di Gua Musang, Kelantan itu, yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1 Sept lalu.

"Kita telah mengerahkan anggota, helikopter tempur jenis Agusta dan unit anjing pengesan untuk membantu operasi mengesan tujuh murid Orang Asli yang hilang itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Hello Malaysia di Bernama TV, di sini, Khamis.

Zulkifeli berkata ATM diberi tanggungjawab mengesan mangsa di kawasan yang mempunyai kemungkinan mereka berada seperti di dalam hutan.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selain ATM dan PDRM, operasi itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Orang Asli, ATM

Artikel Lain