suria

Duta Arab Saudi Lapor Insiden Tindakan Penyokong Liar

SHAH ALAM: Duta Arab Saudi ke Malaysia, Fahad Abdullah Al-Rashid akan membuat laporan mengenai insiden kekecohan pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 ketika Malaysia menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam, malam Selasa.

Fahad berkata, pihaknya akan melakukan apa sahaja bagi melaporkan insiden yang berlaku.

"Kita akan berhubung dengan Wisma Putra. Kita akan menulis kepada mereka," katanya kepada pemberita di stadium pada lewat malam Selasa.

Tindakan penonton yang bertindak membaling suar ke padang menyebabkan perlawanan keempat skuad Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu terpaksa dihentikan pada minit ke-88 ketika Arab Saudi mendahului Malaysia 2-1.

Farah berkata, beliau tidak menjangkakan insiden seumpama itu berlaku dan sentiasa menganggap rakyat Malaysia sebagai sahabat mereka.

"Rakyat Malaysia adalah peramah dan perkara yang berlaku adalah sesuatu yang tidak dijangkakan," katanya.

Ditanya sekiranya kerajaan Arab Saudi akan membenarkan pemain bola sepak dan atlet mereka untuk menyertai sebarang kejohanan sukan di sini, beliau berkata, pihaknya akan memutuskan tindakan seterusnya.

Beberapa penyokong bola sepak Arab Saudi mendakwa mereka diserang semasa perlawanan itu di dalam dan di luar stadium.


Fahad Abdullah Al-Rashid

Artikel Lain