suria

Bekas Pegawai IPTS Didakwa Terbabit Gubah Wang Haram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai hal ehwal pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini pada Isnin atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM350,000, tahun lepas.

Sabariah Kamarudin, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Unaizah Mohd.

Mengikut kelima-lima pertuduhan itu, Sabariah didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan memindahkan wang yang kesemuanya berjumlah RM350,000 dalam transaksi melibatkan hasil daripada aktiviti haram melalui lima keping cek daripada akaun Ambank Berhad Cawangan Kajang ke empat akaun lain miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan empat buah bank di Kajang iaitu CIMB Bank Berhad, Ambank Berhad, Public Bank Berhad dan Hong Leong Bank Berhad antara 8 Ogos hingga 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin@Baharum menawarkan jaminan sebanyak RM35,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, anak perempuan tertuduh yang hadir ke mahkamah selaku penjamin ibunya memohon jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dikurangkan dengan alasan mereka bukan golongan keluarga yang mewah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 8 Oktober untuk sebutan kes.

gubah wang haram, IPTS

Artikel Lain