suria

TH Pantau Rapi Khidmat Pakej Swasta

MAKKAH: Tabung Haji (TH) melakukan pemantauan rapi terhadap operasi agensi pengelola jemaah haji (pakej swasta) bagi memastikan mereka memberikan khidmat seperti yang dijanjikan.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji TH, Mat Admara Alang Azizdin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap agensi yang tidak mematuhi brosur yang diiklankan, atau gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan TH.

"Daripada 22,230 jemaah haji musim ini, seramai 2,215 memilih pakej swasta, termasuk seramai 976 jemaah mengikuti pakej TH Travel  and  Services. Pakej paling minimum yang ditawarkan ialah RM20,000 manakala yang paling tinggi RM189,000 untuk seorang jemaah," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata terdapat 15 agensi pelancongan termasuk anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Travel  and  Services diberikan lesen bagi mengendalikan pakej haji swasta untuk tahun ini.

Menurut Mat Admara, antara syarat dikenakan TH terhadap agensi terbabit ialah mereka mestilah mempunyai petugas berpengalaman dalam pengurusan haji dan memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.

"Bagaimanapun, jika agensi terlibat tidak memberikan perkhidmatan sebagaimana dijanjikan dalam brosur yang diiklankan, syarikat itu boleh dikenakan tindakan. Brosur tersebut adalah bukti perjanjian antara jemaah haji dengan agensi berkenaan," katanya.

Mat Admara berkata jemaah haji yang mengikuti pakej itu juga dinasihatkan membuat laporan kepada TH sekiranya agensi terbabit tidak mematuhi janji atau brosur yang diiklankan.

"Aduan mestilah dibuat ketika masih berada di Tanah Suci bagi memudahkan siasatan kami. Antara aduan yang diterima pihaknya ialah berkaitan jumlah bilangan jemaah dalam satu bilik dan jarak tempat penginapan ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi," katanya.

Selain itu, katanya, agensi-agensi terlibat juga tidak boleh mengenakan sebarang bayaran tambahan kepada jemaah haji tanpa kebenaran TH.

Beliau berkata agensi yang menyalahi peraturan akan dikenakan tindakan amaran, denda atau dibatalkan lesen.

"Agensi yang dibatalkan lesen itu tidak akan diberikan peluang kedua. Sejak 2008, terdapat 32 agensi yang diberikan lesen itu, dan sehingga kini hanya tinggal 15 agensi sahaja yang masih beroperasi," katanya.-- Bernama


Artikel Lain