suria

Dua Lelaki Mengaku Bersalah Cuba Beri Sokongan Kepada IS

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua lelaki pada Jumaat mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan cuba memberi sokongan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Mohd Syafrien Rasid, seorang arkitek dan Mohamad Yusoffe Ishak, seorang jurutera, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Kedua-dua tertuduh, masing-masing berusia 27 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke Istanbul, Turki dalam percubaan untuk memberi sokongan kepada IS dengan memasuki Syria melalui Istanbul bagi manfaat kumpulan itu.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kaunter Imigresen, Balai Perlepasan Antarabangsa, KLIA, Sepang pada 8.55 pagi, 25 September tahun lepas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kes itu ditangguhkan sehingga 9 September untuk jatuh hukum bagi membolehkan pihaknya menyediakan fakta kes selain memberi masa kepada pembelaan menyediakan rayuan bagi meringankan hukuman terhadap anak guam mereka.

Permohonan pihak pendakwaan itu tidak dibantah peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nasrul Hadi bertindak bagi pihak Mohamad Yusoffe serta peguam Nor Rabiatul Bahari mewakili Mohd Syafrien.

Mahkamah menetapkan 9 September untuk mendengar fakta kes dan rayuan sebelum menjatuhi hukuman.
IS, militan IS, Mohd Syafrien Rasid

Artikel Lain