suria

Pengasingan Sisa Pepejal Bantu Ubah Corak Hidup Rakyat Malaysia - Abdul Rahman

Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Ketika rakyat Malaysia di tujuh negeri memulakan pengasingan sisa pepejal daripada rumah, mereka juga sepatutnya memikirkan mengenai penggunaan berlebihan, punca kepada jumlah peningkatan sampah di negara ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau percaya pengasingan sisa pepejal di punca akan membantu mengubah corak kehidupan rakyat Malaysia menjadi lebih mesra alam.

"Kami bersedia menjadi rakyat yang baik di dunia sehingga kepada tahap melindungi alam sekitar," katanya.

Bermula Selasa, isi rumah di Kuala Lumpur, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah - negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pemberishan Awam (Akta 672) - perlu mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori seperti plastik, kertas, kadbod, kaca, besi dan sisa makanan.

Abdul Rahman berkata ia juga bertujuan untuk menjadikan rakyat Malaysia mengikuti langkah-langkah penduduk di negara maju yang menekan aspek kitar semula dalam kehidupan mereka.

"Hanya antara 10 peratus dan 11 peratus sisa pepejal dikitar semula. Kami menyasarkan untuk melihat angka tersebut meningkat dua kali ganda kepada 22 peratus dalam tempoh lima tahun.

"Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu menukar corak pemikiran rakyat. Oleh itu kami menguatkuasakan akta tersebut," katanya.

Beliau berkata rutin pengasingan sisa pepejal akan menggalakan orang ramai untuk meneliti tabiat penggunaan mereka.

"Kegagalan untuk menyemak penggunaan tidak akan menjadi produktif kepada negara kerana kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun untuk pengurusan sisa pepejal.

"Walaupun kita boleh mengurangkan kos tersebut kepada separuh, baki jumlah tersebut boleh disalurkan ke kawasan lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata peraturan baharu itu juga akan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah.

Tapak pelupusan bersaiz sederhana boleh bertahan antara dua dan lima tahun manakala saiz besar seperti di Bukit Tagar, Selangor boleh bertahan sehingga 60 tahun.

Abdul Rahman berkata kementerian tersebut menjalankan pelbagai kempen kesedaran termasuk pengedaran risalah, iklan menerusi media cetak dan elektronik dan juga melalui rangkaian media sosial seperti Twitter.

Katanya, antara 9 dan 26 Ogos, twit yang menggunakan hashtag #asingkan dan #keepitseparated menerima pendedahan sebanyak 16.7 juta.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata kementerian itu turut menjalin kerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO)yang memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar.

"Hari ini membawa harapan baharu kepada negara. Saya percaya rakyat Malaysia bersedia untuk perubahan ini," katanya.

Mereka yang masih cuba untuk memahami pelaksanaan perintah tersebut tidak perlu takut dikompaun jika tidak melakukannya dengan betul kerana tempoh masa yang cukup diberikan dan hukuman tidak akan dilaksanakan sehingga 1 Jun 2016.

"Kami mahu mendidik dan mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan pengasingan sampah sarap dan kepentingannya kepada masyakarat dan juga alam sekitar.

"Penguatkuasaan akan datang kemudian. Pendidikan adalah menjadi kunci," kata Abdul Rahman.

Berkuat kuasa pada Selasa sehingga 31 Mei tahun depan, mereka yang tidak mengasingkan sisa pepejal dengan betul hanya akan dinasihat dan diingatkan tentang bagaimana untuk melaksanakannya dengan betul.

Bermula 1 Jun tahun depan, pemilik hartanah yang gagal mengasingkan sisa pepejal daripada rumah akan dikenakan kompaun sebanyak RM50 untuk kesalahan pertama, RM100 bagi kali kedua dan RM500 untuk kesalahan berikutnya.

Mereka yang tidak membayar kompaun akan dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain