suria

Dakwaan Jalur Gemilang Diarak 'Terbalik' Tidak Berasas - Pakar

-foto RAYMOND OOI/The Star
KUALA LUMPUR: Dakwaan pengguna netizen bahawa Jalur Gemilang diarak secara 'terbalik' pada sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka semalam adalah tidak berasas dan sepatutnya tidak berlaku, kata pakar kenegaraan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Zaid Ahmad berkata netizen dinasihatkan agar tidak membuat kesimpulan mudah berdasarkan pandangan sendiri, sebaliknya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah, terutama berkaitan hal kenegaraan serta melibatkan protokol.

"Tidak ada yang salah tentang kedudukan bendera semasa perarakan itu, kerana ia merupakan protokol pengendalian sistem dan nilai sesebuah negara," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Zaid berkata kesedaran orang ramai yang ingin tahu tentang perkara protokol adalah bagus, tetapi perlu juga ada kesedaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM itu berkata isu itu seolah-olah sengaja dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab sedangkan ia tidak sepatutnya disebarkan sehingga menjadi viral di laman sosial, yang akan mengakibatkan salah faham.

"Masyarakat perlu tahu bahawa perkara melibatkan protokol adalah amat sensitif dalam kalangan pasukan beruniform seperti polis dan tentera. Maka rujuklah maklumat terlebih dahulu di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri atau Bahagian Istiadat Tentera," katanya.

Perarakan Jalur Gemilang oleh pasukan beruniform di hadapan pentas utama pada acara perarakan dan perbarisan bersempena sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka semalam dilihat seolah-olah dibawa secara 'terbalik' sedangkan ia merupakan protokol yang betul berkaitan perarakan bendera.

Sementara itu Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui portal rasminya, ada mengemukakan penjelasan yang boleh dikaitkan dengan isu tersebut.

Menurut portal itu bendera yang diarak pada hari kebangsaan semalam sebenarnya tidak dibawa secara terbalik.

Sebaliknya mengikut protokol pengendalian dalam mana-mana program rasmi kedudukan bendera yang dibawa secara terbentang dengan bahagian kepala bendera diusung mendahului perarakan mengikut arah kibaran bendera (pergerakan bendera).

Berbeza jika kedudukan bendera pada dinding bangunan atau objek yang statik iaitu sama ada dilukis pada dinding atau digantung, bahagian bulan bintang (kepala bendera) hendaklah terletak di sebelah kiri (dipandang dari hadapan).

Artikel Berikut

Operasi Hari Pertama MAB Lancar

Artikel Lain