suria

Tuduhan Guling Kerajaan Memalukan, Mengarut - Ahli Parlimen BN

Noraini Ahmad

PETALING JAYA: Susulan didakwa menjadi sebahagian daripada 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) yang disenaraikan sebagai perancang utama untuk menggulingkan kerajaan, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad tampil membuat laporan polis.

Menyifatkan tuduhan berkenaan sesuatu yang memalukan, Noraini yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung isu berkenaan.

"Tuduhan ini menjatuhkan imej dan kredibiliti saya sebagai wakil rakyat Barisan Nasional.

"Ia sangat memalukan kerana saya bekerja keras untuk Umno dan BN, tapi secara tiba-tiba saya dikaitkan untuk gulingkan kerajaan," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Noraini membuat laporan polis bagi menafikan tuduhan terhadapnya di Balai Polis Kota Damansara pada pukul 12.43 tengah hari, Isnin.

Mengakui terkejut dengan tuduhan berkenaan, Noraini yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu berkata, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut melalui aplikasi Whatsapp yang disertai ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

"Saya menafikan terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan tuduhan berkenaan," katanya.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sebuah blog yang menamakan 20 wakil rakyat BN dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika dihubungi berkata, tuduhan konspirasi menggulingkan kerajaan sengaja direka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini semua tak betul, perkara ini tak wujud. Tak ada siapa di kalangan kami (Ahli Parlimen BN) yang nak gulingkan kerajaan.

"Gulingkan kerajaan bukan kerja kami, tapi itu kerja pembangkang," katanya yang turut dikaitkan dengan komplot berkenaan.

Bagaimanapun Zahidi menegaskan beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana perbincangan yang berkaitan.

"Saya tak pernah dipanggil, dihubungi atau menghadiri apa-apa perbincangan untuk gulingkan kerajaan. Ini semua mengarut," katanya.

Artikel Lain