suria

Konspirasi Tidak Berfaedah - Rafidah

PETALING JAYA: Konspirasi menggulingkan kerajaan yang didalangi pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) merupakan tindakan tidak berfaedah, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebaliknya berkata, kerajaan sedia ada perlu bertanggungjawab menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul termasuk dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya tidak yakin dengan tuduhan-tuduhan saperti itu. Kita masih dilanda masalah berkaitan 1MDB dan wang sumbangan politik RM2.6 bilion.

"Tidak ada faedah bagi sesiapa juga terutama dalam Umno dan BN sendiri untuk menjatuhkan peminpin dan menggulingkan Kerajaan. Tidakkah itu saperti memotong hidung kerana bencikan muka?" katanya menerusi posting terbaharu di Facebook pada Isnin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad mendedahkan mengenai tindakan seorang tokoh besar Umno menjadi dalang utama mengatur gerakan menggulingkan kerajaan melalui cara undi tidak percaya di Parlimen dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut dikaitkan dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun telahpun dinafikan oleh Ahmad Zahid yang juga Timbalan Presiden Umno.

Mengulas lanjut Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno mengingatkan pemimpin Umno dan BN supaya mendahulukan rakyat dalam mentadbir negara.

"Perlu diingat bukan komplot dan konspirasi yang menentukan, tetapi rakyat yang akan menentukan sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Rafidah Aziz, Umno, BN, 1MDB

Artikel Lain