suria

Jemaah Haji Malaysia Terbaik Di Dunia

MADINAH: Jemaah Malaysia diakui sebagai jemaah haji terbaik di dunia, kata Pengerusi Muassasah Adilaq, Sheikh Hateem Bali.

Beliau berkata jemaah Malaysia dilihat sebagai mereka yang cukup berpengetahuan dalam melaksanakan ibadah haji, berdisiplin dan bersopan santun.

"Setiap tahun, jemaah haji Malaysia adalah yang terbaik, mereka saling hormat-menghormati dan sentiasa membantu jemaah yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Hotel MovenPick, satu daripada tiga hotel yang menempatkan jemaah Malaysia di sini, Ahad.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin.

Sheikh Hateem turut memuji pengurusan Tabung Haji (TH) yang berjaya menguruskan jemaah Malaysia dengan baik dan sistematik.

Sementara itu, Zainol Rahim berkata jemaah Malaysia perlu mengekalkan akuan Muassasah Adilaq, yang menjaga kepentingan jemaah haji di Madinah itu, demi nama baik negara. 

"Saya meminta jemaah haji kita fokus kepada ibadah, sentiasa saling bantu membantu dan mengekalkan disiplin," katanya yang turut melahirkan kesyukuran penerbangan pertama jemaah haji berjalan lancar.

Kumpulan pertama seramai 450 jemaah Malaysia selamat tiba di LapanganTerbang Prince Mohammad bin Abdulaziz, jam 8.35 pagi waktu tempatan (1.35 petang waktu Malaysia), sebelum dibawa ke hotel penginapan kira-kira tiga jam kemudian.

Seramai 11,088 bakal haji menerusi 32 penerbangan dijadualkan tiba di disini, dan mereka kemudiannya akan berangkat secara  berperingkat ke Makkah bermula 24 Ogos ini dengan kumpulan terakhir pada 7 Sept. z

Selain Hotel MovenPick, jemaah Malaysia juga akan ditempatkan di dua hotellain di sini iaitu Hotel Al-Haram dan Hotel Al-Saha.

Sementara itu,  Ghazali Mohamed, 59, dan isterinya Robidah Salleh, 50, dariIpoh, Perak melahirkan rasa syukur kerana dapat menunaikan haji buat kali pertama. 

Beliau dan isteri yang mendaftar di TH sejak 2007 berkata kesempatan dan keizinan yang Allah berikan itu, akan digunakan sebaiknya untuk menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu bagi mendapat haji mabrur.

Penjawat awam, Hariff Abdullah, 49, dan isterinya, Maimon Jamaludin, 47,dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang juga  pertama kali mengerjakan haji, turut melahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan untuk menunaikan haji musim ini.

"Alhamdulillah, saya berdoa semua ahli keluarga dan sahabat saya juga akan dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci ini, InsyaAllah," katanya.

Jemaah haji Malaysia

Artikel Lain