suria

Kaji Wajibkan Kanak-Kanak Enam Tahun Masuk Prasekolah

KOTA BARU: Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan kanak-kanak berumur enam tahun mendapatkan pendidikan prasekolah bagi mempersiapkan mereka untuk pembelajaran peringkat sekolah rendah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Ahmad Tajuddin Jab berkata kajian itu selaras dengan usaha kementerian memastikan tahap pendidikan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

"Pada masa ini, kita belum dapat mewajibkan lagi (masuk prasekolah) disebabkan beberapa kekangan termasuk infrastruktur dan tenaga pengajar mahir," katanya kepada pemberita selepas merasmi penutupan Program Jelajah Kementerian Pendidikan 2015 di sini, Sabtu.

Jelajah KPM Edisi Ketiga itu bertujuan mengetahui kehendak dan keperluan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Ahmad Tajuddin berkata tahun ini, kira-kira 84 peratus kanak-kanak berumur enam tahun memasuki prasekolah dan peratusan itu dijangka meningkat kepada 90 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi.

Malaysia agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju seperti Finland yang 99 peratus kanak-kanaknya mendapatkan pendidikan awal sebelum memasuki sekolah rendah.

Menurutnya pendidikan prasekolah amat penting bagi memastikan kanak-kanak di negara ini mencapai prestasi lebih baik semasa memasuki sekolah rendah.-- Bernama

Artikel Lain