suria

Dua Rumah Papan Di Kampung Baru Paroi Musnah Terbakar

SEREMBAN: Dua buah rumah papan separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Paroi, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini pagi Jumaat, mengakibatkan kerugian RM200,000.

Kebakaran pada kira-kira pukul 9.15 pagi itu menyebabkan sebuah rumah terbakar 100 peratus, sebuah rumah bersebelahan pula terbakar 70 peratus manakala sebuah rumah lagi berjaya diselamatkan.

Pegawai Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Azlee Mohd Arus berkata bomba menerima panggilan tentang kejadian itu pukul 9.24 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan tiga buah jentera bersama 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Senawang dan Seremban 2.

"Api sedang marak ketika pasukan bomba sampai dan kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dalam masa 10 minit, api dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mohd Azlee yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni tiada di rumah ketika kebakaran berlaku.

Katanya punca kebakaran sedang disiasat.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Mohd Ghazali Abd.

Wahid berkata beliau akan melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa.

"Saya akan berbincang dengan ketua kampung di sini dan Pengerusi Gerakan negeri David Choong Vee Hing mengenai jenis bantuan yang akan disalurkan kepada mangsa.

"Saya juga akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan lain seperti barang makanan, tilam, bantal, selimut dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata buat sementara waktu ini, 10 orang daripada dua keluarga mangsa terbabit akan ditempatkan di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi.

Artikel Berikut

Artikel Lain