suria

Tindakan Tegas Jika Anggota Tentera Terbabit Dalam Insiden Tembakan

Hishammuddin (kiri) bersalaman dengan ahli-ahli parti ketika hadir ke perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ledang, Jumaat. -fotoBERNAMA

TANGKAK: Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan tegas jika siasatan mendapati ada anggota tentera yang terbabit dalam insiden tembakan rambang di Khemah Pos Tentera, Felda Sahabat 22, dekat Lahad Datu, tengah malam 12 Ogos yang mengorbankan seorang anggota tentera.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau telahpun menerima laporan berhubung kejadian itu malam semalam dan siasatan masih berjalan.

"Seperti dahulu saya pernah nyatakan ia tidak mengira anggota (tentera) kita atau tidak dan ia tidak terkecuali. Kalau terbukti ada salah laku, tindakan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ledang di sini, Jumaat.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Ledang Datuk Ir Hamim Samuri, Anggota Dewan Undangan Negeri Serom Abd Razak Minhat dan bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu, seorang anggota tentera maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena tembakan rambang yang dilepaskan rakan setugas mereka.

Anggota yang terbunuh dikenali sebagai Koperal Raju Karno Rano Karno, 30, manakala anggota yang cedera dikenali sebagai Koperal Julian Anak Janang.

Seorang suspek berumur 22 tahun itu telah ditahan manakala sepucuk senapang M4 Carbain serta satu kelopak mengandungi 22 butir peluru hidup dirampas.

tentera, Hishammuddin Hussein

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain