suria

Pembelian Hartanah Australia Tak Jejas Prestasi Mara Bantu Pendidikan Bumiputera

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Kes pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia tidak menjejaskan prestasi Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu pelajar Bumiputera. 

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, kes itu yang melibatkan anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd dan kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mempunyai kaitan dengan kemampuan Mara menaja pelajar melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di luar negara.

Malah katanya aset luar negara Mara Incorporated Sdn Bhd menunjukkan prestasi baik dengan pertumbuhan hasil melebihi sasaran, katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

"Saya menerima mesej Whatsapp yang banyak daripada para ibu bapa bertanya kenapa anak mereka tidak dapat tajaan Mara, teruk sangat kes di Australia sampai tidak ada duit. Perkara ini tidak benar," kata Annuar yang baru dilantik semula sebagai pengerusi Mara.

Pada Jun lalu, Mara dikritik berkenaan pemerolehan hartanah di Australia itu selepas akhbar harian negara itu, The Age, melaporkan pembelian tersebut dikaitkan dengan rasuah dan mendakwa ia dibeli pada harga jauh lebih tinggi.

Mara Incorporated, sayap pelaburan Mara telah membeli bangunan lima tingkat di pinggir bandar Caulfield itu untuk menempatkan penuntut tajaan Mara yang melanjutkan pengajian di Monash University.

Annuar berkata, Mara masih meneruskan tajaan dalam penghantaraan pelajar Malaysia ke luar negara seperti biasa walaupun dalam kekangan nilai matawang Ringgit Malaysia kini merosot.

Malah pihaknya juga berjaya meningkatkan jumlah pinjaman daripada RM500 juta kepada RM800 juta daripada Bank Rakyat dan Maybank untuk Skim Program Lepasan Ijazah dan Profesional (Skim Tiga).

Beliau berkata, skim itu adalah pembiayaan pelajaran baharu kepada pelajar tempatan Bumiputera yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, yang diperkenalkan pada bulan lepas. - Bernama

Annuar Musa, Mara

Artikel Lain