suria

MH370: Bilik Gerakan Dibuka 24 Jam Bantu Waris Tangani Emosi, Tekanan - Rohani

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membuka bilik gerakan bermula Khamis bagi memberi sokongan kepada waris keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, kata menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata bilik gerakan yang terletak di bangunan kementerian itu di sini serta beroperasi 24 jam sehari itu, menempatkan 20 pegawai psikologi yang berperanan memberi sokongan emosi, psikologi dan moral serta mengurangkan tekanan waris menghadapi berita sedih berkaitan MH370.

Katanya bilik gerakan itu boleh dihubungi menerusi Talian Kasih 15999.

"Kementerian juga sedia menggerakkan pegawai psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat di peringkat negeri untuk membantu menyampaikan perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada waris di rumah," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Khamis.

Kenyataannya itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal Khamis yang berkata pakar-pakar pelbagai negara di Toulouse, Perancis telah mengesahkan serpihan pesawat dikenali sebagai "flaperon" yang dijumpai di Pulau Reunion adalah daripada MH370.

Rohani berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada waris memandangkan insiden kehilangan MH370 itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mereka malah kepada negara.

Tambahnya sejak kehilangan MH370 pada 8 Mac tahun lalu, kementerian berkenaan mengendalikan 56 sesi intervensi termasuk intervensi krisis; sesi kaunseling; bimbingan dan kelompok melibatkan 13 keluarga.

"Saya dan seluruh warga Kementerian mendoakan agar dengan komitmen kami ini dapat memberikan sedikit sinar harapan buat semua waris untuk meneruskan kehidupan," katanya. -- Bernama



MH370, Talian Kasih

Artikel Lain