suria

1MDB: Timbalan Pengarah Operasi Khas SPRM Dipanggil Beri Keterangan

PETALING JAYA: Polis memanggil Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai untuk membantu siasatan berkaitan dakwaan berlaku kebocoran maklumat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob mengesahkan keterangan pegawai kanan suruhanjaya itu akan direkod pada pukul 3 petang, Rabu.

"Keterangannya akan diambil hari ini," katanya.

Kang Sai adalah pegawai SPRM ketujuh yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Pada Selasa, dua pegawai bahagian sama dirakamkan pada pukul 5 petang di IPD sama.

Sehari sebelum itu, seorang lagi pegawai bahagian berkenaan, Tuan Roslan Tuan Mat dipanggil untuk membantu siasatan kes sama.

Pada Isnin juga, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama dua jam menyoal siasat Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohd Zin di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, manakala Ketua Bahagian Forensik Datuk IG Chandran disoal selama tiga jam di Akademi SPRM di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pada Sabtu, polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.

Dokumen berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikat SRC International serta komputer riba telah dirampas oleh pihak polis.

Tindakan ini dilakukan selepas penangkapan bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kebocoran maklumat tersebut.

Sarawak Report telah menerbitkan draf kertas pertuduhan kononnya dibocorkan oleh pasukan penyiasat 1MDB.

Sebelum itu, seorang pegawai kanan penguatkuasa SPRM  dari unit perisikan membuat laporan di IPD Putrajaya, menafikan  SPRM telah membocorkan maklumat mengenai siasatan 1MDB itu.


SPRM, 1MDB, Tan Kang Sai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain