suria

Perbicaraan Saman Nik Nazmi Terhadap Bekas Peguam Negara Ditetapkan 29 Oktober

Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan dua hari bermula 29 Oktober untuk perbicaraan kes saman Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan berhubung dakwaan salah laku kerana mendakwanya buat kali kedua mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan kehadiran peguam Melissa Sasidaran mewakili Nik Nazmi dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom, mewakili Abdul Gani dan kerajaan.

Ketika ditemui pemberita Melissa berkata, mahkamah juga menetapkan 30 September ini untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memfailkan pernyataan saksi.

Pada 31 Mac lepas, Nik Nazmi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Selangor memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Gani, yang ketika itu Peguam Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nik Nazmi, 33, selaku plaintif mendakwa Abdul Gani telah melakukan pendakwaan yang berniat jahat kerana bertindak mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei 2014, walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Nik Nazmi berkata sebelum ini beliau telah didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei 2013 atas tuduhan menganjurkan perhimpunan program penerangan negeri Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei 2013, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Namun, Nik Nazmi dalam pernyataan tuntutannya berkata pada 6 Mei 2014 mahkamah telah melepaskan tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu atas alasan terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 diisytiharkan batal dan tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Nik Nazmi juga mendakwa tindakan Abdul Gani mendakwanya buat kali kedua bagi pertuduhan yang sama menyebabkan reputasinya tercemar dan menggambarkan beliau sebagai seorang penjenayah yang memberi ancaman terhadap keselamatan negara yang harus dibawa ke mahkamah meskipun telah dilepaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya itu.

Oleh itu, Nik Nazmi menuntut ganti rugi khas sebanyak RM80,000, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Lain