suria

Hari Raya Tidak Bermakna Bagi Sebahagian Gelandangan

Gelandangan meneruskan kehidupan seperti biasa pada Aidilfitri.

KUALA LUMPUR: Walaupun ada golongan gelandangan yang tidak sabar beraya di jalanan dengan menyertai majlis-majlis anjuran NGO seperti Pertiwi Soup Kitchen, tidak ketinggalan ada juga yang langsung tidak kisah dengan kehidupan. Apa lagi Hari Raya.

"Sambutan Hari Raya sudah tiada makna bagi saya", itu ungkapan Azman Ahmad Nordin, 47, yang menjadi penghuni kaki lima di Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak sebulan lalu.

Azman yang berasal daripada Teluk Sena, Bota Kiri, Perak, kelihatan tenang turut mengakui kehidupannya tidak menentu apabila bertani di kampung tidak menjadi, lalu berhijrah ke ibu kota untuk mencari kerja juga tidak menjadi.

"Sebelum ini saya kerja sebagai pengawal, tapi banyak kena tipu," katanya.

"Suasana raya tak ada apa, dulu kerja pun dah biasa tak balik raya, nak buat macam mana, katanya sambil membetulkan plastik lapik tempat tidurnya untuk malam ini.

"Masalah kesihatan turut menggangu," katanya.

"Saya cuba minta bantuan kewangan daripada Baitulmal tapi laporan doktor tidak memuaskan, suruh buat lagi, semuanya kena ada modal juga... kena buka akaun Bank Islam, dah ambil borang tapi tak hantar... borang pun dah nak hancur," katanya.

Seorang lagi gelandangan Junaidi Mohd Pilus, 40, yang berasal dari Kelantan tidak pulang ke kampungnya di Kelantan sebab tidak ada duit.

Beliau yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah menetap 40 tahun di ibu kota.

"Dulu saya kerja pengawal, sekarang sakit paru-paru dan tidur di sini (kaki lima)", katanya.

Beliau yang masih mempunyai keluarga dan mempunyai enam orang adik-beradik di kampung.

Manakala bagi Tajul Afindi, 53, yang berasal dari Puchong mendakwa beliau merasai dirinya tersisih dari keluarga kerana mengalami penyakit Tibi.

"Saya ni sakit Tibi...jadi keluarga tak suka lah...saya baru keluar dua bulan dari hospital, orang dah tak suka kita itu sebab saya duduk sini," katanya.

"Selama 15 tahun saya bekerja di Sungai Buloh, dan sudah lama berhenti kerja... saya pun sudah bercerai dengan isteri tapi emak masih ada lagi", katanya.

Beliau turut mengakui mengharapkan ehsan orang ramai dan NGO untuk sesuap nasi dan hari raya baginya yang sudah 20 tahun mengalami nasib sebagai gelandangan di ibu kota hanya satu lagi hari biasa atas kaki lima. -- Bernama

Artikel Lain