suria

LZS Salur RM30.8 Juta Kepada Asnaf Sempena Ramadan & Aidilfitri

Pegawai LZS mengagihkan bantuan kepada asnaf yang layak sempena Ramadan. Gambar Hiasan

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengagihkan bantuan zakat berjumlah RM30.8 juta kepada golongan asnaf fakir dan miskin di negeri ini sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

Pengerusi LZS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, ia melibatkan sebanyak 41,568 keluarga dan setiap satu keluarga dianggar menerima wang tunai sebanyak RM550 hingga ke RM1,000 mengikut jumlah tanggungan keluarga berkenaan.

"Diharap melalui bantuan ini, ia mampu memberikan sinar kepada para asnaf untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang akan menjelang tiba dengan lebih bermakna," katanya.

Mohamad Adzib yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Iftar 2015 di sini, Jumaat, yang turut dihadiri Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Husin Mohd Ali.

Pada majlis itu, LZS turut menerima wang zakat perniagaan bernilai RM5.1 juta daripada 54 buah syarikat antaranya Prolintas Expressway Sdn Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan KPJ Healthcare Berhad.

Mohamad Adzib berkata, pada tahun lepas, LZS mengutip wang zakat berjumlah RM582.1 juta dan mengagihkan sebanyak RM595.1 juta kepada golongan asnaf.

Tambahnya lagi, bagi tahun ini LZS menyasarkan untuk mengutip wang zakat sebanyak RM600 juta.

Sehubungan itu katanya, LZS melancarkan Kempen Daftar eZakat Online bagi memudahkan pembayar-pembayar zakat di Selangor untuk membayar zakat.

Platform itu juga katanya membolehkan pembayar zakat mengemaskini akaun dan mencetak penyata zakat dengan mudah.

Bagi menggunakan kemudahan berkenaan, pembayar zakat hanya perlu mendaftar sebagai pengguna di www.zakatselangor.com.my/ezo. -- Bernama

LZS, asnaf, Ramadan, Aidilfitri

Artikel Lain