suria

Mahkamah Arah CD Mengandungi Kalimah 'Allah' Diserah kepada Wanita Sarawak

PUTRAJAYA: Warga Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill boleh mendapatkan kembali lapan cakera padatnya (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi Kalimah 'Allah' selepas Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengembalikan CD berkenaan kepada wanita itu.

Hakim Tengku Maimun yang mengetuai panel tiga hakim memerintahkan KDN mengembalikan CD itu kepada Jill dalam tempoh sebulan daripada tarikh hari ini.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh KDN dan kerajaan.

Mahkamah juga membenarkan sebahagian rayuan balas Jill dan menghantar semula perkara itu kepada Mahkamah Tinggi untuk didengar di hadapan hakim lain  berhubung permohonan Jill untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai hak beliau di bawah Perkara 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama dan kesaksamaan seseorang di sisi undang-undang.

Pada 11 Mei 2008, CD berjudul 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', telah dirampas daripada Jill sebaik beliau tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Pada 21 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan supaya CD itu dikembalikan kepada Jill tetapi mahkamah tidak mengeluarkan perintah seperti yang dipohon beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Lain