suria

Lelaki Maut Ditikam

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Bangladesh maut ditikam di hadapan sebuah kilang perabot di Nibong Tebal di sini, Ahad malam.

Shamim Shah, 35, yang cedera parah di dada dan perut dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) dan meninggal dunia ketika dirawat kira-kira pukul 1 pagi ini.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, Shamim dilapor diserang dua lelaki ketika ingin masuk ke kilang selepas membeli barang di kedai berdekatan.

"Mangsa dihampiri dua lelaki dan ditikam ketika dia berada di luar pagar kilang dan memanggil rakannya untuk membuka pintu pagar yang berkunci.

"Rakan mangsa yang berada di kawasan belakang kilang untuk mengambil kunci pagar terdengar jeritan mangsa dan melihat mangsa memanjat pagar kilang dengan badan berlumuran darah," katanya di sini, Isnin.

Jurucakap polis berkata lelaki itu sempat memberitahu rakannya yang dia ditikam oleh dua lelaki bersenjatakan pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Polis juga sedang menyiasat motif kejadian. Kami menolak kemungkinan mangsa disamun kerana barangan milik mangsa termasuk wang tunai dan telefon bimbit tidak hilang," katanya.

Bangladesh, Tikam

Artikel Lain