suria

Dua Wanita Dipaksa Pakai Kain Sarung Untuk Masuk Bangunan SUK

Wartawan C. Premanthini (kanan) dan seorang penduduk Klang bergambar di bangunan SUK Selangor.

SHAH ALAM: Susulan insiden seorang wanita diminta memakai kain sarung di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, dua wanita pada Isnin diberitahu supaya menutup bahagian kaki mereka atau tidak dibenarkan masuk ke bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menerusi satu kenyataan di Facebook berkata, seorang wartawan dan seorang penduduk yang dijemput untuk satu sidang media tidak dibenarkan masuk kerana memakai skirt di atas paras lutut.

"Kedua-dua mereka diberitahu supaya memakai kain sarung untuk menutup bahagian kaki mereka kerana pakaian mereka dianggap terlalu singkat.

"Memandangkan JPJ telah membuat permohonan maaf secara terbuk beberapa minggu lalu, mengapa keselamatan di bangunan SUK di Selangor menguatkuasakan polisi ini?" soalnya.

Wartawan, C. Premananthini, 32, berkata, dia berada di pondok pengawal bagi mendapatkan pas pelawat apabila seorang pengawal yang sedang bertugas memberitahunya mengenai pakaian yang dipakainya terlalu singkat pada paras lutut.

Pengawal itu kemudiannya memberitahu dia bahawa mereka mempunyai kain sarung untuk dipakainya bagi membolehkan dia masuk ke dalam bangunan.

"Salah seorang rakan setugasnya memegang kain sarung warna hijau yang digantung pada penggantung baju untuk memberikan kepada saya," katanya.

Premananthini berkata, dia bertanyakan kepada pengawal mengapa dia dilayan serupa seperti insiden JPJ namun tidak diendahkan.

Seorang penduduk yang tiba untuk menghadiri sidang media lebih awal turut berkata, dia diberitahu supaya menutup bahagian kakinya.

Dia kemudiannya dapat memasuki kawasan bangunan selepas menutup bahagian kakinya menggunakan skarf yang dipinjam daripada seorang rakan.

Kedua-dua mereka memasuki bangunan menerusi pintu berlainan.

Artikel Lain