suria

PAS Sedia Lawan DAP Dalam Pilihan Raya

Mohd Zuhdi Marzuki

PETALING JAYA: Selepas meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP, PAS kini membayangkan akan meletakkan calon bertanding di kerusi tradisi milik sekutu pakatan pembangkang itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, PAS sedang membina kekuatan sendiri untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.

"Peranan yang dimainkan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjadi semakin penting, disamping PAS mula meneroka hubungan persefahaman dengan kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

"Tidak mustahil PAS akan mula meletakkan calon di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu yang menjadi kerusi tradisi DAP," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Hubungan dua sekutu pakatan pembangkang kini semakin retak apabila Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Sabtu lalu meluluskan usul bagi memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas.

Bagaimanapun PAS mahu kekal dalam pakatan itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas lanjut, Zuhdi yang menang dalam pemilihan PAS Khamis lalu berkata, parti itu juga terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan.

"PAS semakin bersedia untuk menghadapi senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai parti seperti yang sedang berlaku di kebanyakan negara membangun.

"Diyakini dalam beberapa tahun mendatang tiada parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan yang stabil tanpa sokongan parti atau gabungan yang lain.

"Oleh sebab itu, PAS seharusnya menjadi parti yang bersikap terbuka kepada semua pihak sesuai dengan 'Islam sebagai rahmat kepada semua'," katanya.

Selain itu Zuhdi turut menyeru ahli PAS supaya yakin dengan kepimpinan baharu parti Islam itu yang turut dianggotai golongan profesional pelbagai latar belakang.

"PAS akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam dan maslahah rakyat.

"Pendek kata, para pendukung PAS perlu bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan baru untuk menjadikan PAS sebagai pencatur utama  atau king maker kepada politik Malaysia," katanya.

Mohd Zuhdi Marzuki, PAS, DAP

Artikel Lain