suria

Gempa Sabah: 33 Sekolah Alami Kerosakan

RANAU: Sebanyak 33 sekolah mengalami kerosakan akibat gegaran gempa bumi di beberapa daerah di negeri ini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip berkata jumlah itu berdasarkan laporan yang diterimanya sehingga Sabtu daripada pengetua dan guru besar sekolah terlibat.

Daripada jumlah itu, hanya dua sekolah mengalami kerosakan teruk iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau membabitkan dua blok kuarters guru dan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali Ranau.

Selebihnya hanya melibatkan keretakan tetapi tidak menjejaskan struktur bangunan sekolah, katanya kepada Bernama selepas melawat SMK Ranau di sini, pada Sabtu.

Daerah Ranau mencatatkan sekolah terbanyak mengalami kerosakan akibat gegaran gempa bumi iaitu 15 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah diikuti

Tuaran satu sekolah menengah empat sekolah rendah, Kota Belud tiga sekolah rendah, Nabawan dan Penampang masing-masing sebuah sekolah rendah.

Jame berkata pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemeriksaan terhadap sekolah terlibat bermula Isnin ini di SMK Ranau dan SMKA Mohamad Ali Ranau.   

Katanya mereka akan mengenal pasti anggaran kos untuk kerja pembaikan dan selepas memperolehi laporan itu beliau akan mengemukakannya kepada Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan peruntukan bagi kerja pembaikan. 

Menurutnya ia termasuk mengenal pasti kerosaan dua blok kuarters guru SMK Ranau sama ada boleh diduduki semula atau tidak.

Beliau berkata beberapa dinding kelas juga retak dan pemendapan tanah menyebabkan beberapa paip air bawah tanah di sekolah itu pecah. 

Katanya hasil lawatan beliau hari ini di SMK Ranau mendapati kelas tidak terjejas dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) boleh diteruskan pada sesi persekolahan bermula 15 Jun ini.

Bagaimanapun, beiau berkata:"Jika pihak JKR memberi laporan kelas itu tidak selamat diduduki, pemindahan pelajar ke sekolah berdekatan akan dilakukan bagi mempastikan PDP tidak terjejas.

Harus diingat apa sahaja kita buat yang diutamakan adalah keselamatan pelajar dan guru." katanya.

Jame berkata pegawai daripada Kementerian Pendidikan juga akan melawat di kedua-dua sekolah itu esok untuk mendapatkan laporan lengkap kerosakan.

Menurutnya bagi guru di SMK Ranau yang hilang tempat tinggal akibat kerosakan dua blok kuarters guru, mereka yang tidak ada tempat tinggal boleh dipindah ke kuarters guru di sekolah lain jika ada yang kosong. 

Dalam pada itu, beliau mengarahkan mana-mana sekolah di daerah ini yang mempunyai kelas tambahan pada musim cuti sekolah ini supaya menangguhkannya disebabkan keadaan tidak stabil akibat gempa bumi.

-- BERNAMA
Gempa Sabah

Artikel Lain