suria

Tindakan SPR Ikut Perlembagaan - Aziz Yusof

Abdul Aziz Mohd Yusof

PUTRAJAYA: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara bagi memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuching berhubung arahan semakan semula persempadanan bahagian pilihan raya negeri Sarawak dibuat berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Ini dinyatakan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang berkata di bawah Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, fungsi utama Peguam Negara (AG) adalah untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri berkaitan undang-undang.

Beliau berkata pada masa sama peruntukan undang-undang itu menyatakan AG juga berperanan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang yang dari semasa ke semasa dirujuk atau ditugaskan oleh YDPA.

"Memandangkan salah satu fungsi AG adalah untuk menasihati YDPA mengenai perkara-perkara undang-undang, maka adalah betul dan logik SPR merujuk perkara undang-undang melibatkan Perlembagaan Persekutuan kepada AG," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa peguam yang mahu SPR tidak menggunakan khidmat AG dalam kes di Sarawak, sebaliknya mendapatkan khidmat peguam sendiri.

Menjelas lanjut Abdul Aziz berkata keanggotaan SPR adalah dilantik oleh YDPA di bawah perkara 114 (1) yang menyatakan suruhanjaya itu bertanggungjawab kepada baginda dalam melaksanakan tugasnya.

Ini termasuk menjalankan pilihan raya, membuat pendaftaran pemilih serta kajian semula persempadanan sebagaimana yang peruntukan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan dilantik oleh YDPA untuk menjalankan tugas-tugas tersebut, maka adalah wajar SPR menggunakan khidmat AG dalam pertikaian undang-undang berkaitan," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta pihak tertentu supaya tidak mengelirukan rakyat dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan umum berhubung kes di Sarawak.

Tambahnya, SPR adalah sebuah badan yang sentiasa bersikap bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dalam menjalankan tugas serta peranan termasuk dalam soal persempadanan semula kawasan pilihan raya.-- Bernama

SPR, Perlembagaan, YDPA

Artikel Berikut

Artikel Lain