suria

Jepun Mahu Keretapi Laju Shinkansen Beroperasi Di Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, diiringi rakan sejawatan dari Jepun, Shinzo Abe (kanan), menuju ke sidang akhbar bersama di Tokyo, Isnin. Perdana Menteri Malaysia itu berada di Jepun untuk lawatan rasmi tiga hari bermula Ahad. - fotoBERNAMA
TOKYO: Jepun pada Isnin mengulangi hasratnya untuk melihat teknologi kereta api laju kebanggaan negara itu, Shinkansen, digunakan dalam Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Hasrat itu disuarakan Perdana Menterinya, Shinzo Abe dalam mesyuarat dua hala dengan delegasi Malaysia diketuai rakan sejawatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Isnin.

"Saya berharap dapat melihat Shinkansen beroperasi di bumi Malaysia," katanya pada sidang media bersama dengan Najib, selepas mesyuarat di pejabat Abe.

Mengulas perkara itu, Najib berkata mereka menghabiskan masa yang lama bagi membincangkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi melibatkan kerajaan Malaysia serta Singapura berkenaan.

"Kita dimaklumkan mengenai signifikan serta kepentingan projek itu oleh Jepun," kata Najib.

Perdana Menteri turut percaya Jepun akan mengemukakan bidaan yang amat kompetitif itu apabila tiba masanya kelak.

Malah, hasrat Jepun untuk membida projek kereta api berkelajuan tinggi itu turut diberi liputan meluas oleh media tempatan Jepun menjelang kunjungan Najib.

Salah satu laporan menyatakan Jepun juga berusaha melobi untuk turut  mengetengahkan penggunaan Shinkansen bagi projek kereta api laju menghubungkan Bangkok dan Chiang Mai di Thailand serta Jakarta dan Bandung di Indonesia.

Esok, Najib akan merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api laju berkenaan menerusi perjalanan selama 96 minit ke Sendai, kira-kira 325 kilometer dari Tokyo.

Perkhidmatan Shinkansen itu merangkumi laluan kira-kira 2,400 kilometer yang merentasi Jepun.

Sebelum perjalanan esok, Najib akan diberi taklimat oleh pegawai Perkhidmatan Keretapi Jepun mengenai Shinkansen serta pembangunan di sekitar stesen Tokyo selain melawat kokpit kereta api itu.

Pada awal bulan ini, Perdana Menteri dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, mengulangi komitmen penuh kedua-dua negara bagi menjayakan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi itu yang mampu mengurangkan masa perjalanan kepada kira-kira 90 minit berbanding tiga jam menerusi jalan raya, pada masa ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, memaklumkan wartawan Malaysia yang membuat liputan kunjungan Perdana Menteri, bahawa beberapa negara termasuk Perancis, Korea Selatan, Sepanyol dan Jerman telah menyatakan minat untuk menyertai projek kereta api berkenaan.

"Masih terlalu awal lagi kerana kedua-dua pihak, baik Malaysia mahupun Singapura, perlu meneliti banyak butiran lain.

"Jepun misalnya, telah menyatakan kesanggupan untuk mengendalikan aspek latihan pekerja, modal insan, pemindahan teknologi serta pembiayaan dalam usaha mendapatkan projek itu," katanya.

Artikel Lain