suria

Kes Dua Lelaki Culik Ejen Hartanah Disebut Semula 19 Jun

GEORGE TOWN: Kes dua lelaki yang didakwa menculik seorang ejen hartanah untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM20,000 akan disebut semula pada 19 Jun depan.

Majistret L. Umma Devi menetapkan tarikh itu bagi membolehkan laporan forensik dikemukakan kedua-dua tertuduh, ketika kes itu disebut di hadapannya pada Jumaat.

Pada 4 November lalu, Yeap Cheng Soon, 31 dan Yeap Choon Book, 29, didakwa menahan Ooi Suu Chin, 49, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM20,000 di sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Timur Laut dekat sini pada 2.30 petang, 24 Oktober lepas.

Mereka yang bekerja sebagai pembantu di kedai keranda dan juruteknik kamera litar tertutup itu didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika ia tidak dihukum mati, boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim.

ejen hartanah, kes culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain