suria

Jawi Gugurkan Tindakan Terhadap Nik Raina

Nik Raina dan Roslan lega selepas tiga tahun kes berkenaan berlarutan apabila Jawi menggugurkan tindakan terhadap pengurus Borders itu.

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menggugurkan pendakwaan terhadap pengurus Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz kerana menjual buku yang diharamkan.

Peguam Nik Raina, Roslan Dahlan memberitahu The Star Online, pihaknya menerima surat bertarikh 11 Mei daripada Jawi memaklumkan perkara itu.

Katanya, jabatan agama itu menarik balik rayuan yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Syariah berhubung keputusan melepaskan Nik Raina pada Februari lalu.

"Surat itu tidak menyatakan sebab kenapa ia ditarik balik, tetapi ia perlu dilihat sebagai sesuatu yang positif," katanya sambil menambah surat itu dikeluarkan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Mohammad Adib Husain.

Beliau berkata, pihaknya menganggap perkembangan terkini itu  sebagai tindakan ikhlas kerana Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya juga bertolak ansur dengan permohonan Borders.

"Kami memohon untuk menemuinya minggu lalu bagi membincangkan perkara ini dan beliau (Paimuzi) begitu terbuka serta bersimpati dengan apa yang kami lalui. Kami menghargainya," katanya.

Keputusan itu diterima seminggu selepas pasukan perundangan Borders mengugut untuk menyaman Jawi kerana menghina mahkamah jika masih meneruskan kes berkenaan.

Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah melepaskan tanpa membebaskan Nik Raina Nik daripada pertuduhan menyebar buku karya penulis kontroversi, Irsyad Manji.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Nik Raina, yang diwakili peguam Rosli Dahlan, supaya dilepaskan daripada pertuduhan itu.

Dalam keputusannya, Mohd Amran berkata mahkamah mengambil kira bahawa Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah menyentuh perkara itu (pertuduhan terhadap Nik Raina) dan telah membuat keputusan bahawa pertuduhan itu adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Katanya mahkamah mengambil pertimbangan sewajarnya supaya perkara itu tidak kelihatan seperti permasalahan dan percanggahan antara sistem perundangan.

Pada 30 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan Jawi menyerbu kedai buku Borders dan merampas buku itu adalah menyalahi undang-undang dan tindakan Jawi menyiasat kes terhadap Nik Raina, yang ketika itu pengurus stor dikedai itu, adalah tidak munasabah dan bersifat mala fide.

Pada 19 Jun 2012, Nik Raina didakwa menyebar buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' karya penulis kontroversi, Irshad Manji, yang bertentangan dengan hukum syarak di kedai buku Borders di The Gardens Mall, Mid Valley.

Nik Raina didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara menjual buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta (Keberanian untuk menyelaraskan kebebasan denganiman) terjemahan buku tulisan Irshad yang bertajuk 'Allah, Liberty and Love' (The courage to reconcile faith and freedom) yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai buku Borders, milik Berjaya Books Sdn Bhd, Lot T-216B, Tingkat 3, The Gardens Mall, Mid Valley City, antara 8.41 dan 9.45 malam pada 23 Mei 2012.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Artikel Lain