suria

Gempa Kedua Kathmandu: Tiada Rakyat Malaysia Hilang

KATHMANDU: Tiada rakyat Malaysia yang hilang atau tidak dapat dihubungi selepas gempa bumi melanda Nepal semalam, menurut Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

"Setakat ini, tiada laporan diterima berhubung kehilangan rakyat Malaysia di Nepal atau tidak dapat dihubungi dan tiada kes berkaitan daripada pihak berkuasa Nepal membabitkan warganegara Malaysia," menurut kedutaan dalam satu kenyataan.

Ditanya adakah semua warga Malaysia selamat, Kaunselor/Kuasa Usaha Fadli Adilah berkata setakat ini tiada laporan diterima mengenai individu yang hilang.

Susulan kejadian gempa bumi terbaru yang melanda Nepal pada Selasa, Kedutaan Malaysia akan ditutup pada Rabu.

"Operasi kami/pejabat Kedutaan akan ditutup hari ini. Kami akan cuba membuka esok," kata kenyataan itu, dan menambah ia bergantung kepada situasi pada Rabu.

Pejabat kedutaan itu dibuka pada Selasa apabila gempa bumi menggegarkan Nepal, menyebabkan pegawai kedutaan menutupnya dengan segera.

Gempa bermagnitud 7.4 menggegarkan Nepal semalam dengan pusat gempa di Dolkha, kira-kira 100 kilometer ke timur Kathmandu, diikuti 15 gegaran kecil.

Pada 25 April, Nepal dilanda gempa 7.9 pada skala Richter yang mengorbankan lebih 8,000 orang manakala bencana semalam, setakat ini telah mengorbankan lebih 60 orang.

Kathmandu, Nepal

Artikel Lain